Monday 4 June 2012

PROJEK LYNAS PERLU DIHENTIKAN


Mungkin sebelum ini saya merupakan seseorang yang tidak prihatin dengan masalah atau isu dalam dan luar Negara. Namun pada hari ini, ternyata apabila menjadi salah seorang bakal pengamal perhubungan awam saya harus menjadi orang yang lebih peka dan sedar akan apa sahaja isu semasa yang melibatkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dan negara. Ianya penting kerana generasi muda seperti kita inilah yang akan menjadi peneraju dan tonggak masa hadapan Negara dalam mengorak langkah kemajuan Negara. Oleh sebab itulah, generasi hari ini yang berumur 21 tahun ke atas perlu menunaikan tanggungjawab mendaftar sebagai pengundi bagi menentukan pihak manakah yang lebih layak untuk memegang tampuk pemerintahan.

Tetapi pada jam ini, bukanlah cerita mahupun kempen pilihan raya yang ingin saya bincang dan kongsikan tetapi  mengenai isu semasa yang masih menjadi topik perbualan dalam kelompok masyarakat terutamanya penduduk di negeri Pahang iaitu Kuantan. Mestilah tidak lain tidak bukan iaitu mengenai isu kilang Lynas yang telah pun siap 91% dan akhirnya mendapat tentangan hebat daripada masyarakat yang bimbang akan kesan-kesan yang tidak dijangka yang akan menjejaskan kehidupan mereka selepas ini.

Apalah yang benar-benar ditentang oleh masyarakat ini! Ini bukannya isu politik namun rata-rata mereka yang menentang juga bukanlah mereka yang menyokong pembangkang. Mungkin pada masa ini pihak pembangkang akan mengambil kesempatan untuk menjadikan isu ini sebagai senjata untuk memancing hati masyarakat dan menjadikan keadaan lebih hangat tambahan pula pilihan raya akan diadakan. Dengan cara ini masyarakat dapat membuka mata melihat tindakan kerajaan yang dikatakan tidak peka akan keselamatan dan masa depan masyarakat di kawasan tersebut. 

Tertanya-tanya juga saya apakah relevannya kilang memproses nadir bumi dibina di Gebeng? Saya masih tidak faham. Adakah dengan adanya kilang memproses nadir bumi ini akan membantu meningkatkan ekonomi Negara kita? Pada mereka yang tidak tahu kilang Lynas ini menghasilkan komponen peralatan elektronik seperti Ipod, pemain MP3, kenderaan hybrid, pemacu cakera dan sebagainya. Namun, tidak terfikirkah pihak kerajaan mengapa rakyat begitu bersungguh-sungguh membantah pembinaan kilang tersebut? Rakyat pada hari ini bijak menilai dan berfikir tentang apa sahaja pembangunan dan kemajuan Negara. Ya, setiap apa yang dilakukan pastilah mempunyai kebaikan dan keburukan tetapi kenapa rakyat Pahang sendiri tidak tahu akan kelulusan pemberian lesen tersebut. Banyak persoalan yang bermain difikiran sehingga telah menyebabkan pelbagai bantahan seperti yang dilakukan oleh Jawatankuasa Himpunan Hijau 2.0.

Negara Malaysia sendiri mengalami masalah pencemaran tetapi kini ditambah lagi pencemaran yang berbahaya dan memudaratkan manusia dan alam sekitar. Kenapa perlu merisikokan Negara sendiri sedangkan kita tahu akan kesan radioaktif yang sangat berbahaya sehingga pembuangan sisa toksik juga menjadi masalah kerana tidak pasti tempat pembuangannya. Negara manakah agaknya mahukan sisa ini yang sudah tentu tahu akan kesannya? Kenapa tidak mahu mencegah dahulu sebelum keadaan menjadi parah. Kerajaan sedang berusaha mengadakan pelbagai penelitian untuk melihat tahap keseriusan permasalahan ini sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan kenyataan bahawa projek nadir bumi Lynas Corporation di Gebeng, Pahang tidak membawa kemudaratan terhadap masyarakat setempat. Mungkin hari ini kita tidak dapat melihat kesannya untuk setahun dua namun pada jangka masa panjang terutamanya generasi muda pada masa hadapan tidakkah ia akan menambahkan lagi masalah akibat kesilapan tampuk pemerintahan dahulu dan pada waktu itu tidak gunalah lagi penyesalan untuk dikesali. Harapan saya agar kerajaan tidak akan melupakan konsep “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” pada masa-masa akan datang.  

Firman Allah dalam Surah Ar Rum ayat 41:
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala’ bencana di darat dan di laut dengan sebab - sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia: (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan - perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

No comments:

Post a Comment