Monday 4 June 2012

ISU KEPENGGUNAAN : HARGA BARANG


Seiring dengan kesejahteraan dan kemajuan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia pada hari ini, keperluan dalam kehidupan seharian juga semakin meningkat dan membawa kepada perbelanjaan yang melibatkan kos hidup yang tinggi. Maka dengan itu, rakyat Malaysia juga semakin berhati-hati untuk membuat keputusan terbaik dalam konteks perbelanjaan kehidupan seharian mengikut pendapatan yang diterima pada setiap bulan agar bajet pada bulan tersebut tidak melebihi daripada apa yang telah dibahagikan. Sejurus itu, pelbagai masalah timbul dalam membelanjakan wang kerana dengan pendapatan yang minimum akan wujud kos lepas dalam mengadakan pemilihan dalam memilih barang yang menyumbangkan harga terendah. Namun begitu, jika kita lihat pada hari ini, terdapat pelbagai pusat membeli-belah yang menawarkan harga terendah setiap hari kepada masyarakat setempat dalam urusan jual beli barang-barang keperluan seharian yang sangat penting.

Walaubagaimanapun, dengan adanya pasar raya besar yang tumbuh bagai cendawan seperti Tesco, Giant, Mydin dan seangkatan dengannya pada abad ini, terdapat isu-isu yang melibatkan hak-hak pengguna yang tidak dititikberatkan oleh penjual mahupun pengurusan pasar raya besar tersebut. Saban hari, kita sering mendengar pembeli, pelanggan mahupun pengguna merungut akan harga barang yang tidak menentu dan mengelirukan sehingga menimbulkan pelbagai masalah apabila proses pembayaran dilakukan di kaunter pembayaran. Isu yang sering ditimbulkan adalah apabila harga yang digantung, dipromosi atau dilabel tidak sama dengan harga yang sepatutnya dibayar oleh pengguna. Biarpun pengguna pada hari ini amat bijak dalam menilai sesuatu barangan namun masalah kekeliruan harga tetap menjadi isu utama walaupun telah melakukan tinjauan harga sebelum membeli. Mengikut aduan yang dilakukan oleh pengguna yang bernama Sam Wong pada 08 September 2010 di pasar raya Carrefour yang mengadu tentang tanda harga promosi pada sebotol air tidak sama dengan harga yang perlu dibayar. Aduan tersebut diadukan kepada pegawai di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut.

Antara isu lain pula yang menjadi perhatian apabila harga makanan dan minuman yang dikenakan kepada pelanggan adalah tidak munasabah. Peniaga sering mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesannya kepada pelanggan. Sudahlah kos hidup semakin tinggi ditambah pula dengan masalah harga yang begitu tinggi akan memberi bebanan kepada pelanggan kerana tidak munasabah untuk dibayar dengan harga sebegitu. Ini dapat dibuktikan melalui kes di sebuah kopitiam pada tahun 2010 yang mengenakan harga RM0.60 pada segelas air suam dengan sewenang-wenangnya. Pelanggan tidak berpuas hati apabila caj tersebut dikenakan setelah proses pembayaran dilakukan dan pada itu berlakulah pertikaian sehingga diadukan kepada pihak penguatkuasa yang bertanggungjawab dengan pemantauan harga makanan dan minuman.

Masalah seperti ini sering berlaku pada mana-mana tempat dan dengan itu tertubuhlah Gabungan Persatuan-persatuan pengguna Malaysia (FOMCA) untuk membela hak-hak pengguna agar tidak diperdaya oleh penjual atau peniaga yang selalu sahaja mengambil kesempatan. Terdapat  beberapa akta yang perlu diketahui oleh pengguna pada hari ini seperti Akta Perlindungan Pengguna, seksyen 12, subseksyen 1 yang menyatakan bahawa  seseorang adalah melakukan sesuatu kesalahan:
(i)                  jika dia memberi seseorang pengguna gambaran yang mengelirukan mengenai harga yang padanya apa-apa barang atau perkhidmatan boleh didapati atau
(ii)                 jika sesuatu gambaran yang diberikan olehnya kepada seseorang pengguna mengenai harga yang padanya apa-apa barang atau perkhidmatan boleh didapatimenjadi mengelirukan dan dia tidak mengambil langkah munasabah untuk menghalang.
Begitu juga dengan Akta Kawalan Harga 1946 yang menyatakan semua peniaga hendaklah meletakkan tanda harga bagi barang jualan mereka.Ini kerana pengguna boleh menbuat pilihan sama ada mahu melanggan makanan dan minuman tersebut ataupun tidak.

Masyarakat hari ini perlu mengetahui hak-hak sebagai pengguna dan sentiasa peka dengan keadaan semasa agar masalah-masalah yang berlaku sewaktu urusan jual beli dapat diselesaikan dengan baik tanpa mengabaikan hak-hak pengguna yang telah ditetapkan. Begitu juga dengan peniaga yang perlu mengetahui apa yang boleh ataupun tidak dalam menjual barang dan menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat agar sama-sama mengikut garis panduan yang telah ditetapkan mengikut undang-undang dalam urusan jual beli. Oleh itu, jadilah pengguna yang bijak dalam membuat pilihan dan banteras peniaga yang tidak bertanggungjawab yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata untuk mencapai kekayaan dan kemewahan dengan mudah. Tindakan yang setimpal akan dikenakan kepada mereka yang tidak mengikut peraturan yang telah dikuatkuasakan pihak kerajaan agar pengguna tidak lagi terpedaya dengan sikap peniaga yang tamak ini.  






No comments:

Post a Comment