Wednesday 6 June 2012

Debat: Inikah yang rakyat mahukan?


Seperti biasa, apabila pilihanraya akan diadakan pelbagai agenda daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang cuba laksanakan mengikut kehebatan masing-masing dan daya saing yang sihat. Apa yang menarik, sebelum pilihanraya tidak ada pula idea-idea bernas ini  diketengahkan bagi kesejahteraan rakyat namun tiba-tiba sahaja pelbagai program dan agenda dilakukan untuk meraih undian terutamanya daripada golongan muda. Hebatnya penangan pilihanraya kerana agaknya pada pemikiran saya pada ketika itu sahajalah agaknya idea datang mencurah-curah. Ia datang bermusim. Begitulah lumrah kalau melihat keadaan ini empat tahun sekali. Tetapi bukanlah pilihanraya yang ingin saya ceritakan tetapi mengenai debat PTPTN antara Rafizi dan Khairy Jamaluddin atau lebih popular dikenali sebagai KJ yang mendapat perhatian golongan muda yang menuntut di institut pengajian tinggi. Debat ini dapat dilihat secara langsung di Astro Awani dan melalui ‘live streaming’ dari laman web www.mob.tv.

Topik yang amat menarik untuk diperdebatkan dan membuatkan saya ternanti-nanti. Pada pendapat saya, memang cukup hebat apabila mendengar kedua-dua pendebat berhujah sehingga sukar untuk menilai hujah manakah yang paling hebat dan cukup meyakinkan. Namun selaku seorang yang mempunyai pendirian, saya tetap mengatakan bahawa PTPTN tidak seharusnya dimansuhkan kerana lebih banyak keburukan daripada kebaikannya sendiri kepada individu dan juga negara. Mungkin sukar untuk saya senaraikan kebaikan dan keburukannya dengan lebih teliti bersama fakta-fakta yang boleh menyokong kenyataan tersebut kerana kajian perlu dilakukan terlebih dahulu tetapi kita sendiri boleh berfikir bersama-sama apakah relevannya pemansuhan PTPTN dijadikan isu. Kenapa? Tiada isu lainkah yang ingin dijadikan agenda dalam pilihannraya akan datang? Atau pihak pembangkang bimbang golongan muda akan beralih arah dan menyokong pihak kerajaan. Lihatlah! Semua perkara dipolitikkan. Bagi saya, tidak guna bercakap sahaja atau mengeluarkan janji-janji manis kepada rakyat tetapi tidak menunaikannya. Tidakkah mereka merasa berdosa jika tidak mengotakan janji tersebut dan memutarbelitkan keadaan hanya semata-mata untuk kepentingan mendapatkan kuasa? Sebagai generasi muda, inilah yang saya bimbangkan. Tepuk dada tanya iman.

Namun, apa yang saya ingin bicarakan di sini adalah kewajaran berdebat secara terbuka dihadapan rakyat. Adakah ini yang rakyat mahukan? Kalau Tanya pada pendapat saya, jawapannya adalah YA. Mengapa? Debat cara begini adalah jalan terakhir untuk mengetahui serta memahami akan isu-isu yang diutarakan daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang kerana ia adalah cara yang sihat dan adil. Hujah-hujah yang bersandarkan kepada fakta adalah amat penting bagi mengukuhkan lagi isu yang diperdebatkan supaya kelihatan yakin dan mampu mempengaruhi mahupun mengubah persepsi rakyat daripada positif ke negatif atau sebaliknya. Rakyat pada hari ini semakin bijak dalam menilai sesuatu isu. Menang atau kalah dalam berdebat itu bukanlah perkara yang perlu dititikberatkan namun apa yang penting adalah kematangan bagi seseorang individu berfikir.


  

No comments:

Post a Comment