Monday 4 June 2012

LAGU ‘BAWAKU PERGI’ DI GAM PIHAK KERAJAAN

Industri muzik tanah air dikejutkan lagi dengan isu pengharaman sebuah lagu baru ciptaan Malique baru-baru ini. Lagu ‘Bawaku Pergi’ yang hanya sempat dimainkan untuk beberapa kali sahaja di corong-corong radio kini tidak lagi kedengaran apabila liriknya disalahtafsir oleh golongan yang dikatakan berfikiran sempit. Tertanya juga saya teruk sangat ke liriknya sehingga disalahertikan? Akibat tertarik dengan isu pengharamannya saya pun mendengar lagunya di youtube sambil membuka liriknya. Beginilah bait lirik lagu tersebut.

bawa aku pergi
pacu laju-laju
kita lari dari realiti
bawa aku pergi
pacu laju lagi
malah kita
tak perlu kembali
tengah malam nanti
tolong jangan lupa
jangan mungkir janji
aku dah teruja
sudah cukup lama
aku tunggu saat ini
sejak kali terakhir kau hantar pulang
hidup sungguh sepi
tolong jangan bilang mama
tolong jangan bilang papa
malah jangan bilang teman karibmu
jangan bilang sesiapa
oh, buku merah jangan lupa bawa
moga-moga belum tamat tempoh
kali ini kita pergi lebih lama
pergi lebih jauh, ayuh
bawa aku pergi
pacu laju-laju
kita lari dari realiti
bawa aku pergi
pacu laju lagi
malah kita
tak perlu kembali
mata dalam kaca, topi berceloreng
sarung tangan hitam, atas muka ada topeng
hanya perlu siul, tidak tekan loceng
hero sudah sampai, cepat terjun dari loteng
kita terus ke sempadan aku pacu, engkau bonceng
bawa bekal air muka cuci aib bopeng
lari dari kewajipan, tanggungjawab ponteng
lari dari kenyataan, mula kisah dongeng
tinggalkan dataran, puncak dunia kita duga
tinggal kemewahan cuba cara hidup purba
lari-lari baling bola salji depan gua
sambil cari yeti kita boleh cari (what?)
tinggalkan dataran, puncak dunia kita duga
tinggal kemewahan cuba cara hidup purba
lari-lari baling bola salji depan gua
tidak jumpa yeti moga-moga jumpa syurga
bawa aku pergi
pacu laju-laju
kita lari dari realiti
bawa aku pergi
pacu laju lagi
malah kita
tak perlu kembali
bila kita pergi
apa kan berlaku
siapa kan peduli
siapa ambil tahu
hidup kita tempuh
untuk apa saja
tidak kira mana kembara membawa
kita kan bersama
oh, buku merah jangan lupa bawa
moga-moga belum tamat tempoh
kali ini kita pergi lebih lama
pergi lebih jauh, ayuh

Saya sendiri tercari-cari bait lirik yang manakah menjadi isu seperti yang dilaporkan? Oh, sudah tentu lirik yang saya hitamkan tersebut. Pada pemikiran saya, itulah yang menjadi kebimbangan golongan tersebut dan mengaitkan pula dengan masalah sosial remaja yang lari dari rumah. Tuan empunya badan pula menyatakan bahawa lagu ini dicipta untuk isteri tersayang yang ingin dibawanya bercuti ke luar negara. Malique amat kesal dengan pengharaman lagu tersebut yang merupakan kesinambungan lagu ‘Pergi Jauh’. Namun begitu, jika difikirkan semula patutkah lagu tersebut diharamkan? Mengapa mesti lagu ‘Bawaku Pergi’ sedangkan banyak lagu lain yang diputarkan memberi kesan negatif kepada remaja terutamanya lagu Inggeris. Kenapa tidak diharamkan juga lagu yang mempunyai unsur-unsur lucah ataupun ‘double meaning’?

Masalah sebegini bukan sahaja berlaku di negara kita malah berlaku juga di negara-negara lain seperti Indonesia, Amerika Syarikat dan lain-lain. Lagu memainkan peranan dalam kehidupan seharian kerana ia mampu menjadi pemangkin untuk memulakan kehidupan kerana mood sesebuah lagu itu mampu mempengaruhi jiwa dan pemikiran seseorang terutamanya pada mereka yang taksub mendengar lagu. Lihat sahaja fenomena lagu K-pop yang melanda di negara kita yang mempunyai peminat yang besar dalam kalangan remaja.

Berbalik pada isu lagu hasil tulisan Malique yang diharamkan penyiarannya, jika diteliti lirik lagu tersebut memang boleh juga dikaitkan dengan masalah remaja yang suka lari dari rumah. Kita perlu ingat bahawa pemikiran golongan tua amat berbeza dengan pemikiran golongan muda dan tidak mengira usia golongan apa sekalipun masing-masing mempunyai pendapat. Tapi pada hari ini, saya ingin mengutarakan pendapat tentang sokongan saya terhadap tindakan pihak kerajaan yang mengharamkan lagu itu disiarkan. Sudah tentulah, jawatankuasa yang bertanggungjawab telah membuat penelitian dan mengambil kira pelbagai faktor sebelum membuat keputusan tersebut. Bukan hendak menutup periuk nasi pengkarya muzik yang hebat seperti Malique tetapi saya percaya Malique seorang yang kreatif mampu menghasilkan lagu yang lebih baik daripada itu. Biarpun seperti yang diperkatakan Malique yang telah lama meninggalkan zaman remajanya tidak terlintas untuk menghasilkan lirik yang mengaitkan dengan masalah sosial remaja namun pemikiran remaja pada hari ini berlainan dengan zaman yang dilaluinya dahulu.       

Antara faktor yang membuatkan saya menyokong tindakan kerajaan ini adalah disebabkan oleh diri saya sendiri yang tidak boleh dipisahkan dengan lagu. Saya amat meminati lagu-lagu Inggeris. Walaupun meminati lagu tersebut kadang-kadang saya juga tidak memahami lirik lagu tersebut sedangkan saya sering mengulang-ulang lagu tersebut menyanyi pada waktu lapang, ketika menyiapkan tugasan dan sebelum tidur. Biarpun saya sedar ada beberapa perkataan yang menyebut perkataan-perkataan lucah dan dari situlah saya belajar perkataan tersebut dan menyebutnya sesuka hati apabila berbual bersama rakan. Ada juga rakan yang menegur dan menerangkan maksud lagu tersebut yang seakan-akan mempunyai fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam malah perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya disebut. Lihatlah betapa hebatnya pengaruh lagu tersebut sehingga mempengaruhi percakapan seharian yang boleh mencetuskan pelbagai perbalahan. Sehingga hari ini juga ia masih mempengaruhi saya terutamanya apabila melihat sendiri video klip lagu-lagu tersebut.

Menurut fakta daripada arkibnegara.blogspot.com, sejak tahun 1989 lagi, isu lagu yang ‘di gam’ telah berlaku dan pada waktu itu Radio Televisyen Malaysia (RTM) amat terkenal akan ketegasannya yang tidak meluluskan mana-mana lagu yang tidak mencapai mutu rakaman yang ditetapkan oleh mereka. Terdapat empat sebab yang dikatakan menjadi penyebab ketidaklulusan lagu tersebut untuk disiarkan iaitu kerana nyanyian, masalah teknikal iaitu vow, lagu saduran, senikata, ciptaan dan gubahan yang tiada keaslian.

Tuntasnya, tindakan pihak kerajaan yang tidak meluluskan lagu ‘Bawaku Pergi’ adalah tindakan yang wajar sekali diambil. Walaupun Malique merasa tidak berpuas hati akan keputusan tersebut tetapi itulah keputusan yang terbaik untuk mengurangkan masalah keruntuhan akhlak. Memang benar seperti yang dikatakan Zizan, “kalau orang nak lari rumah dia lari juga, tidak perlu lagu pun dia akan lari juga”. Tidak semua orang akan terpengaruh akan lagunya namun mungkin ada segelintir remaja yang kurang bijak inilah yang membimbangkan kita akan masalah yang ditimbulkan olehnya. Saya percaya selepas ini pasti Malique akan bangkit dengan menghasilkan lagu-lagu yang berkualiti dan mempunyai unsur-unsur nasihat terhadap masyarakat.  

No comments:

Post a Comment